Saturday, May 7, 2011

Illuminati: Suatu Kajian Ringkas Dan Teorinya Di Malaysia - Bahagian 2

Konspirasi Illuminati Di Malaysia


Teori Pertama: Simbol Illuminati pada wang kertas Malaysia


Apa yang ditandakan pada dakwat merah tersebut merujuk pada seekor kijang. Lambang ini boleh ditemui pada setiap wang kertas yang dikeluarkan atas nama Ringgit Malaysia (RM). Kijang tersebut turut menjadi lambang kepada pengeluar mata wang Malaysia iaitu Bank Negara Malaysia.


Tapi, benarkah haiwan dalam gambar tersebut adalah seekor kijang? Cuba perhatikan dengan cermat? Setahu saya, kijang tidak mempunyai ekor yang panjang. Jadi, gambar haiwan di atas merujuk kepada apa? Gambar di atas lebih mirip kepada anjing. Apa pula kaitan haiwan anjing dengan pertubuhan rahsia Illuminati? Bulan dan matahari dalam lambang tersebut merujuk kepada apa?


Perkaitan di antara haiwan anjing, bulan, matahari sehinggalah kepada Illuminati adalah sangat panjang, malah ada missing line yang perlu difahami sebelum sampai kepada satu titik yang sama dan berkaitan. Apapun saya cuba untuk ringkaskannya.


Sejarah telah merakamkan bahawa masyarakat Mesir Purba suatu masa dahulu yang tidak beragama (pagan) menyembah bulan dan matahari sebagai tuhan mereka. Pada mereka, matahari dikenali sebagai Amon-Re atau tuhan matahari bermata satu. Ukiran-ukiran sembahan mereka banyak ditemui pada makam Firaun dan piramid.


Manakala, haiwan anjing pula boleh dikaitkan dengan Pharoah Hound yang menyerupai anjing yang menjadi lambang kepada Mesir Kuno. Lambang anjing juga dianggap sebagai Dewa Anubis. Tambahan pula, lambang ini sememangnya menjadi salah satu simbol identiti bagi pertubuhan rahsia Freemason yang mempunyai kaitan langsung dengan Illuminati.


Akan bersambung...


InsyaAllah...

Illuminati: Suatu Kajian Ringkas Dan Teorinya Di Malaysia - Bahagian 1





Sebelum melanjutkan nukilan ini, suka saya beritahu bahawa penulisan saya pada kali ini adalah lebih serius dalam membahaskan modul bicara yang menyentuh beberapa perkara di luar pengetahuan umum. Bagi saya, ianya amat penting untuk saya uar-uarkan agar dapat memandu pemikiran dan persepsi para pembaca yang budiman sekalian dalam menanggapi beberapa perkara yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini.



Masyarakat dunia umum mengetahui bahawa hari ini adalah 'Hari Pekerja Sedunia' berdasarkan kepada kalender masihi yang digunapakai pada ketika ini hasil pembaikpulihan daripada kalender Caeser yang digunakan sebelum ini. Apa yang membuatkan hari pekerja ini menjadi begitu popular dek bukan kerana mogok dan protes yang dilakukan oleh golongan pekerja di jalan raya pada hari ini, tetapi lebih kepada konspirasi disebalik pemilihan tarikh ini sebagai hari pekerja yang jatuh pada 01 Mei pada setiap tahun. Hal ini disebabkan tarikh ini dikaitkan dengan sebuah pertubuhan rahsia dunia. Pertubuhan yang saya maksudkan itu adalah pertubuhan rahsia, Illuminati.



Ada yang menganggap Illuminati ini sebagai salah satu pertubuhan rahsia yang bergabung dengan beberapa pertubuhan rahsia yang lain seperti Lions club, Rotary club, Bahaiyah, Bilderberg group, Zionisme dan sebagainya untuk membentuk satu pakatan yang dikenali sebagai Freemason. Malah, tidak kurang juga yang menduga ia hanya sebagai salah satu cabang kepada gerakan Freemason di seluruh dunia. Dalam membicarakan hal ini, ia menjadi suatu kemestian bagi menyentuh beberapa perkara-perkara penting yang mempunyai kesinambungan yang kuat dengan Illuminati seperti Kabbalah, knight templar, International Religion dan Dajjal.



Namun, fokus dan inti penulisan saya pada kali ini hanya tertumpu kepada Illuminati sahaja tanpa mengaitkannya secara terperinci dengan yang lain walaupun saya sedar ianya mempunyai kaitan yang amat rapat.



Perkataan Illuminati diambil daripada bahasa Latin iaitu Illuminatus atau diterjemahan dalam bahasa Inggeris sebagai enlightened. Menurut kamus Oxford, perkataan enlightened bermaksud 'berkesedaran moden tentang kehidupan'. Dalam bahasa Arab pula ia bermaksud al-Nuraniyin. Ia diambil sempena nama iblis yang dianggap sebagai pemerintah tunggal alam ini. Malah, ada juga yang menisbahkan Illuminati ini sebagai salah satu daripada kumpulan atau mazhab Yahudi yang dianggotai oleh golongan bijaksana (Hukama') Yahudi. Tidak kurang juga yang menyatakan bahawa perkataan Illuminati ini diambil daripada perkataan 'Lucifer' (Iblis) yang bererti 'Pemegang Cahaya'.





Pertubuhan rahsia ini telah diasaskan pada 01 Mei 1776 oleh seorang Professor Theology dari University Angold Stadt, Jerman bernama Adam Weishaupt. Beliau dikatakan merupakan salah seorang anggota Freemason yang telah murtad daripada agama Kristian dan menganut fahaman Atheisme sebelum menubuhkan pertubuhan ini lagi.


Simbol ataupun lambang utama pertubuhan ini terdapat pada wang kertas dollar Amerika Syarikat bernilai USD 1.00. Ia lebih tepat merujuk kepada piramid yang kelihatan tidak siap sepenuhnya. Melalui lambang tersebut, beberapa tafsiran telah dibuat, antaranya;





1. Tarikh yang terdapat pada tapak piramid tersebut merujuk pada tarikh penubuhan Illuminati secara rasmi.




MDCCLXXVI - 1776



mDCcLXxVI = 666



2. Piramid tersebut merujuk piramid yang terdapat di Segitiga Bermuda yang menjadi tempat tinggal Dajjal dan pusat pemerintahan Iblis.




3. Air yang mengelilingi piramid tersebut ialah tanah air laut yang terdapat di sekitar Segitiga Bermuda.




4. Sebiji mata yang terdapat pada puncak piramid tersebut merujuk kepada mata Dajjal yang sedang memerhati dunia ini.




5. 13 lapisan bata yang terdapat pada piramid tersebut merujuk kepada tanah jajahan asli dan jumlah 72 bongkah bata yang terdapat dalam piramid tersebut merujuk kepada kuasa dari nama-nama tuhan dalam ajaran Kabbalah.




6. Cogan kata yang terdapat pada bulatan tersebut bermaksud;




"ANNUIT COEPTIS" = Mengumumkan Konsepsi




"NOVUS ORDO SECLORUM" = Order Baharu Sekular




Jika diselidik lebih mendalam, pereka cipta wang kertas USD 1.00 Amerika Syarikat dilakukan oleh seorang anggota Illuminati itu sendiri iaitu Pat Robertson.






Pertubuhan rahsia ini mendapat sokongan dan dana daripada gedung kewangan yang dikuasai oleh Yahudi bernama Rothschild. Keluarga Rothschild berasal dari Frankfurt, Jerman. Mereka memulakan perniagaan sebagai agen pertukaran mata wang asing secara riba.



Akan bersambung...



InsyaAllah...



Wednesday, April 27, 2011

Selamat Ulang Tahun AUKU Ke-40: Keprihatinan Terhadap Mahasiswa

Muak aku baca tajuk di atas tu, tapi atas dasar marketing strategy, aku terpaksa tulis jugak. Huh, hari ini adalah hari yang ku nantikan, hari yang paling sesuai untuk aku post gambar-gambar ku semasa menghadiri majlis orasi politik di suatu tempat nun jauh di seberang sana. Nak dipendekkan cerita, kepulangan ku ke Tawau pada musim kuliah kebiasaannya adalah untuk mengadakan mesyuarat syarikat di tempat aku bekerja, maklumlah, aku bertindak sebagai Pengurus Luaran untuk syarikat tersebut.


Tapi, ianya sangat berbeza untuk kali ini, niat dihati tak nak juga lepaskan peluang bila ayah ku sendiri mempelawa aku untuk turut sama terjun ke padan politik di Indonesia. Ya, ayah aku nak pergi berkempen di Indonesia atas tiket pembangkang. Huhu. Tapi, kaji punya kaji, rupa-rupanya calon pembangkang yang bertanding tersebut mempunyai kaitan keluarga dengan kami. Patutlah beriya-iya nak pergi. Rupanya atas dasar kaitan keluarga. Tak pa, di sinilah masanya untuk aku menyuntik jarum-jarum siasah Islamiyyah. Aku bukan mentah dengan parti politik yang bertanding atas tiket pembangkang, yang bertanggungjawab mengherat aku dan ayah ku ke medan ini, sebab ia adalah Parti Keadilan Sejahtera (PKS).


Orasi politik yang berlangsung pada hari itu begitu mendapat sambutan daripada penduduk kampung dan kawasan sekitarnya. Beberapa hari selepas aku sampai semula di kampus setelah lebih dua minggu balik dari Tawau, aku bingkas menelefon ayah ku untuk bertanya keputusan, memang tak asing lagi, calon kami meneng majoriti >3000 undi. Tahniah, rakyat marhaen mula bijak menggunakan kuasanya.


Tapi, apa kaitan dengan tajuk yang aku nukilkan pula di atas??? Hah, sedar atau tidak, hari ini sudah masuk ulang tahun ke-40 AUKU diperkenalkan, dua hari selepas tu baharu digazetkan. Bukan apa, selama aku di sana, aku terfikir adakah aku sudah melanggar AUKU? Sebab salah satu kekangan dalam akta ini merujuk kepada juzuk-juzuk politik, yang aku rasa tak perlu untuk aku terangkan kepada sasaran pembaca aku, korang nak tau, korang cari sendirilah, nak kena suap terus. Orang yang bertangungjawab untuk membela aku dan membayar segala upah peguam bela adalah ayah aku dek kerna mempelawa aku untuk turut ke sana. Hehe. Tapi, ayah aku bukan orang yang jenis mudah patah hujah. Dia pasti akan mempersoalkan kerelevenan akta ini sendiri berdasarkan apa yang aku terangkan. Antaranya ayah aku akan cakap;


"Kenapa anak saya tak boleh ikut dengan saya, sedangkan dia da dewasa, da lebih 21 tahun da, da boleh jadi bapa pun, sedangkan anak-anak muda yang sebaya dengan dia, yang tak masuk universiti dapat hak kebebasan yang lebih tinggi, adakah sebab anak saya bergelar MAHASISWA?"


1-0!


"Kamu adakah akta nak tangkap mahasiswa yang berada di luar negara kerana mereka ikut serta dalam parti politik, setahu saya, kelab UMNO pun wujud jugakkan di luar negara dan para pelajar Malaysia yang belajar di luar negara boleh turut serta dengannya. Ni apa kes pulak?"


2-0! Untuk ayah aku.


"Pada hemat saya, mahasiswa/i adalah entiti yang terbaik dalam kalangan belia di sesebuah negara. Lantaran itu, adalah zalim sekiranya kita menafikan hak mereka untuk bersuara dan menjalani aktiviti sebaai rakyat Malaysia yang sah. Anak saya bukan pergi mencuri, merompak atau merempit, tolonglah jangan layan mereka sebagai rakyat kelas ketiga di negara ini"


3-0! Untuk mahasiswa.


"Ni saya belum cakap lagi pasal kebobrokan sistem pendidikan negara, penjajahan jenis baharu terhadap negara, pengunduran penjajah era British, konfrantasi Indonesia dan Malaysia, hak kependudukan bangsa, acuan bangsa Malaysia dan lain-lain. Jangan cabar saya. Anak saya yang bagitau semua ni..."


Sebelum perkara ini semakin menyentuh isu-isu yang di luar pengetahuan umum, saya pun menasihati ayah saya untuk bersabar dengan apa jua cabaran dan rintangan. Sambil itu, saya berbisik ke telinga ayah saya;


"Ayah jangan lupa, durang ada senjata terakhir, iaitu ISA..."


Rasanya, cukup setakat ini ja, ada banyak lagi nak bahas pasal akta yang kurang siuman ni. Tapi tak pa, insyaAllah di lain hari. Cumanya, saya sedikit kecewa bilamana berborak dengan seorang kakak saya yang juga bekas mahasiswa universitas berkenaan kewujudan kekangan akta seperti ini, jawapannya sama seperti amalan kiblat AUKU di Malaysia.



Maaflah, sebab malas nak bahas tentang sistem politik di negara republik macam Indonesia ni. Jarang juga aku nak upload gambar kat FB ni, tapi kali ni kira korang bertuah la. Kalo korang nak tengok lebih gambar, boleh terus link dengan Facebook aku:

Friday, February 25, 2011

Sejarah Ringkas Pro-Mahasiswa

Baharu beberapa hari Pilihan Raya Kampus (PRK) melabuhkan tirainya, tapi kehangatan isu-isu berkenaan PRK yang terjadi masih hangat diperkatakan di media arus perdana. Dua kuasa besar yang dominan dalam setiap PRK, adalah Pro-Mahasiswa (Pro-M) dan Pro-Aspirasi (Pro-A). Setahu saya, kedua-dua pergerakan ini mempunyai nilai perjuangan yang berbeza. Namun, bukan itu inti penulisan saya pada artikel ini.

Secara jujur, saya sememangnya menyokong perjuangan dan idealisme yang dibawakan oleh pihak Pro-Mahasiswa. Namun, saya turut tercari-cari dari mana datangnya nama Pro-Mahasiswa ini. Ada juga yang mengaitkan ia dengan perjuangan mahasiswa zaman 60-an. Saya cuba untuk mencari maklumat ini semua di laman sesawang tetapi maklumat-maklumat tersebut sangat sukar ditemui dan perlukan kajian mendalam terhadap gerakan mahasiswa pasca kemerdekaan sehinggalah sekarang.

Artikel ini saya tulis atas dasar ilmiah dan fundamental perjuangan mahasiswa semenjak zaman berzaman agar seluruh mahasiswa/i memahami secara realiti dan menyokong serta mendokong pergerakan ini atas dasar kefahaman yang mendalam. Terima kasih saya ucapkan kepada Fahmi Reza yang merupakan Presiden Republik Anak Muda (RAM) dan beberapa blog Pro-Mahasiswa yang menjadi rujukan sepanjang kajian ringkas ini. Sekiranya terdapat kesilapan maklumat yang saya sampaikan boleh terus tegur melalui komen. Selamat membaca.

Gerakan mahasiswa di Malaysia telah lama tumbuh sebagai sebuah gerakan yang genuine dan berpengaruh. Salah satu gerakan mahasiswa yang terkenal ialah Pro-Mahasiswa, ia telah bertapak hamper disemua kampus pada ketika ini. Namun, Pro-Mahasiswa lebih menonjol sewaktu pilihan raya kampus diadakan.

Percaya atau tidak, sejarah tertubuhnya Pro-Mahasiswa adalah bertitik tolak daripada gerakan mahasiswa sekitar tahun 1960-an. Gerakan mahasiswa pasca merdeka pada ketika itu, lebih berautoriti dan bebas dalam sistem pengurusan dan pentadbiran mereka. Ianya mula timbul untuk menjaga kepentingan dan hak-hak mahasiswa khususnya. Apabila jaringan gerakan ini semakin meluas dari tahun ke tahun, maka tertubuhlah ‘Student Unity’ pada tahun 1969. Student Unity ditubuhkan atas dasar kesatuan mahasiswa/i pada ketika itu (Student Union) yang berakar umbi diperingkat kampus Universiti Malaya dikenali sebagai UMSU (University of Malaya Students’ Union) dan NUMS (National Union Malaysian Students’) diperingkat kebangsaan. Pada ketika ini, gerakan mahasiswa ini tidak lagi terbatas dalam memperjuangkan hak-hak dalam lingkungan kampus tetapi lebih dari itu. Mereka menjadi jurucakap rakyat jelata, bebas mengkritik tindakan sesebuah kerajaan sama ada dalam ataupun luar negara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan dan turut menjadi contoh perpaduan yang utuh bilamana tragedi 13 Mei berlaku.

Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi, selaku universiti yang tertua di negara ini, Universiti Malaya menjadi perintis kepada penubuhan dan kebangkitan gerakan-gerakan mahasiswa sehingga kini. Setelah Student Unity dilihat begitu kukuh untuk membawa suara mahasiswa seluruhnya, maka lahirlah ‘Student Power’ yang menjadi kuasa mahasiswa yang ampuh dalam memperjuangkan sesuatu agenda. Dengan kesedaran yang tinggi dalam kesatuan mereka membawa dan memperjuangkan idealisme dan kebajikan mahasiswa dan rakyat atas nama Student Power. Dalang disebalik tertubuhnya Student Power pada waktu itu adalah Khong Kim Hong (Presiden PMUM 68/69) dan Syeh Hamid Ali (Setiausaha Umum PMUM 68/69).

Beberapa tahun setelah itu, Student Power beransur hilang akibat daripada kekangan yang menimpa mahasiswa/i seluruh negara. Disepanjang tempoh ini, gerakan mahasiswa semakin layu dan lesu. Ia adalah zaman kegelapan dalam dunia gerakan mahasiswa diseluruh negara. Cuma pada tahun 1980-an, mahasiswa/i di Malaysia dikejutkan dengan kebangkitan mahasiswa/i Indonesia melawan regim Soeharto yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Hanya pada tahun 1996, mahasiswa/i Universiti Malaya yang sedar akan pentingnya kesatuan dalam memperjuangkan hak-hak mahasiswa yang telah lama diketepikan telah menghimpunkan kelompok-kelompok mahasiswa beridealisme di bawah nama ‘Gagasan Mahasiswa’. Gagasan Mahasiswa ini telah memegang tampuk kepimpinan di Universiti Malaya selama 8 tahun bermula dari 1996-2003. Banyak rekod cemerlang yang dicapai sepanjang kepimpinan mereka seperti pendaftaran subjek secara online, kemudahan pengangkutan awam kepada mahasiswa dan sebagainya.

Namun, pada tahun 2004 mereka memboikot pilihan raya kampus atas alasan adanya campur tangan dari pihak luar dan dikhuatiri berlaku ketirisan di dalam pilihan raya kampus yang bakal dijalankan. Walau bagaimanapun, pada tahun seterusnya mereka bangkit dengan harapan baharu mahasiswa atas nama Pro-Mahasiswa. Perjuangan mereka bertunjungkan kepada dua aspek penting iaitu kebajikan dan idealisme mahasiswa/i seluruh negara. Kini, Pro-Mahasiswa semakin diterima umum dan telah melebarkan pengaruhnya hampir ke seluruh kampus di negara ini. Selaku gerakan yang genuine mereka menggunakan slogan “Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa” dan mengambil semangat mahasiswa zaman 60-an dengan seruan Student Power!!!


Tambahan:


Apa itu Pro-Mahasiswa?

Pro-Mahasiswa bermaksud sebuah jaringan oleh kelompok yang membawa dan memperjuangkan suara mahasiswa yang genuine dan bebas. Suara mahasiswa yang tidak menyebelahi mana-mana pihak sama ada kerajaan, pembangkang atau pentadbiran universiti.

Siapa Pro-Mahasiswa?

Kelompok-kelompok anak muda progresif bergelar mahasiswa yang mempunyai kesedaran social dan politik yang tinggi serta mempunyai inisiatif dalam memperjuangkan idealisme dan kebajikan mahasiswa.


Rujukan

Facebook: Fahmi Reza,
Blogspot: Pro-Mahasiswa Universiti Malaya,
Sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Monday, February 14, 2011

Akhirnya Aku Menulis!!!

Aku perlu menulis, melalui perantaraan idea dan pena.
Aku perlu menulis, mengikut acuan sendiri.
Aku perlu menulis, biar sedikit yang penting antisipatif.
Aku perlu menulis, untuk membezakan antara hak dengan yang batil.
Aku perlu menulis, biar hari ini ia pasif, esok lusa boleh jadi aktif.
Mungkin aku perlu kurangkan membaca dan perlu perbanyakkan penulisan.
Ah, mungkin itu hanya mitos, seperti orang-orang yang percaya bahawa negara ini merdeka tanpa setitik pun pertumpahan darah.
Ah, mungkin juga suatu kebenaran bagi mereka yang berfikir secara kognitif.
Mungkin juga ada benarnya menurut mereka yang memahami sifat-sifat warna melalui penulisan Nancy Ann Tappe.
Atau saja berdiri di atas pagar bagi mereka yang menafsir seni mengikut penilaian masing-masing.
Kamu boleh menafsir penulisan ku sebagaimana orang menafsir lukisan dan sajak Nostradamus pada hari ini.
Maka, aku perlu menulis sebaik Syair Perahu, Hamzah Fansuri.
Namun, kebenaran yang pasti bukan milik kamu!!!

14 Febuari 2011
12.43 pagi

Monday, December 7, 2009

Korupsi Dan Penggesaan Terhadap Perundangan Syariah Di Indonesia

Tersenyum sendiri saya bila membaca akhbar Berita Harian diinternet kelmarin malam. Apa tidaknya tajuk berita tersebut adalah 'Susilo Digesa Laksana Syariah'. Dalam benak fikiran saya, bilalah agaknya negara yang mempunyai bilangan penduduk Islam paling ramai di dunia ini nak melaksanakan undang-undang Syariah. Tapi soalan itu sepertinya tidak adil dan tidak sedap didengar kerana negara kelahiran saya ini juga turat sama tidak melaksanakan perundangan Islam sepenuhnya.

Kemarahan penunjuk perasaan yang diterajui oleh kumpulan Hizbut Tahrir ini adalah akibat daripada skandal rasuah yang terjadi di negara itu baru-baru ini yang melibatkan wang berjumlah AS$700 juta (RM 2.4 billion). Ini bukan kali pertama skandal rasuah berlaku di Indoonesia malah ada yang mengatakan rasuah sudah menjadi budaya dalam kalangan penduduk Indonesia. Justeru, penunjuk perasaan menggesa agar presiden republik itu, Susilo Bambang Yudhoyono melaksanakan perundangan Islam bagi menangani masalah ini daripada terus berlaku.

Ahli pergerakan kumpulan itu mengutuk keras sistem kapitalis yang digunakan pada ketika ini merupakan punca utama berbagai masalah timbul di negara itu. Kumpulan ini juga turut membuat perarakan pada minggu lalu ketika Hari Aids Sedunia disambut. Mereka turut menolak penggunaan kondom sebagai cara untuk menyekat jangkitan virus HIV daripada merebak sebaliknya mereka menuntut sama agar undang-undang Syariah di negara itu dilaksanakan sebagai jalan penyelesaian.
Ayoh Indonesia Terus Berjuang Menegakkan Sistem Khalifah Islamiyyah!!! Kita Bila Lagi???

Friday, November 13, 2009

Jom Beli Dan Baca Buku: Sejarah Pemikiran 1 - Sumber Ilmu, Perbandingan Ideologi Dan Orde Baru Dunia


Syukur sangat dapat beli buku ni. Suatu buku yang telah membuatkan saya cemburu kepada seorang bekas senior di Universiti saya yang terlebih dahulu membeli dan membaca buku ini. Dalam hati saya berkata, patutlah selama ini bila bercakap tentang bab ilmiah dengan dia saya sering rasa terkebelakang. Rupa-rupanya dia mempunyai sumber pengetahuan yang saya tidak miliki. Buku ni bakal menjanjikan pembaca dengan pelbagai maklumat penting yang membuatkan pembaca melihat dunia ini dengan lebih luas dan terkedepan lagi tentang hakikat keadaan yang berlaku di dunia pada masa kini. Nampaknya, tidak balik kampung dengan pengetahuan kosonglah saya pada tahun ni. Sekurang-kurangnya ada juga bahan ilmiah yang boleh dibawa ke Indonesia. InsyaAllah. Mari kita lihat kondisi buku ini dari sudut luaran sebagai maklumat kepada anda semua.

Penulis/Penyusun: Sulaiman Noordin
Tajuk: Sejarah Pemikiran 1 - Sumber Ilmu, Perbandingan Ideologi dan Orde Baru Dunia
Bilangan Muka Surat: 449 Muka Surat
Diterbitkan oleh: Perniagaan JAHABERSA
Dicetak oleh: BIN HALIBI PRESS
Harga: RM 69.90 (Cumanya ana dapat buku ni dengan harga RM 62.oo, kena pandaila mintak diskaun)
Tempat Saya Dapatkan Buku Ini: Kedai Kita, Wilayah Persekutuan Labuan.
Pesanan: Apa yang saya lihat buku ini cuma tinggal satu jak lagi di kedai tu. Bah cepat-cepatla kamu beli. Siapa cepat dia dapat.