Friday, February 25, 2011

Sejarah Ringkas Pro-Mahasiswa

Baharu beberapa hari Pilihan Raya Kampus (PRK) melabuhkan tirainya, tapi kehangatan isu-isu berkenaan PRK yang terjadi masih hangat diperkatakan di media arus perdana. Dua kuasa besar yang dominan dalam setiap PRK, adalah Pro-Mahasiswa (Pro-M) dan Pro-Aspirasi (Pro-A). Setahu saya, kedua-dua pergerakan ini mempunyai nilai perjuangan yang berbeza. Namun, bukan itu inti penulisan saya pada artikel ini.

Secara jujur, saya sememangnya menyokong perjuangan dan idealisme yang dibawakan oleh pihak Pro-Mahasiswa. Namun, saya turut tercari-cari dari mana datangnya nama Pro-Mahasiswa ini. Ada juga yang mengaitkan ia dengan perjuangan mahasiswa zaman 60-an. Saya cuba untuk mencari maklumat ini semua di laman sesawang tetapi maklumat-maklumat tersebut sangat sukar ditemui dan perlukan kajian mendalam terhadap gerakan mahasiswa pasca kemerdekaan sehinggalah sekarang.

Artikel ini saya tulis atas dasar ilmiah dan fundamental perjuangan mahasiswa semenjak zaman berzaman agar seluruh mahasiswa/i memahami secara realiti dan menyokong serta mendokong pergerakan ini atas dasar kefahaman yang mendalam. Terima kasih saya ucapkan kepada Fahmi Reza yang merupakan Presiden Republik Anak Muda (RAM) dan beberapa blog Pro-Mahasiswa yang menjadi rujukan sepanjang kajian ringkas ini. Sekiranya terdapat kesilapan maklumat yang saya sampaikan boleh terus tegur melalui komen. Selamat membaca.

Gerakan mahasiswa di Malaysia telah lama tumbuh sebagai sebuah gerakan yang genuine dan berpengaruh. Salah satu gerakan mahasiswa yang terkenal ialah Pro-Mahasiswa, ia telah bertapak hamper disemua kampus pada ketika ini. Namun, Pro-Mahasiswa lebih menonjol sewaktu pilihan raya kampus diadakan.

Percaya atau tidak, sejarah tertubuhnya Pro-Mahasiswa adalah bertitik tolak daripada gerakan mahasiswa sekitar tahun 1960-an. Gerakan mahasiswa pasca merdeka pada ketika itu, lebih berautoriti dan bebas dalam sistem pengurusan dan pentadbiran mereka. Ianya mula timbul untuk menjaga kepentingan dan hak-hak mahasiswa khususnya. Apabila jaringan gerakan ini semakin meluas dari tahun ke tahun, maka tertubuhlah ‘Student Unity’ pada tahun 1969. Student Unity ditubuhkan atas dasar kesatuan mahasiswa/i pada ketika itu (Student Union) yang berakar umbi diperingkat kampus Universiti Malaya dikenali sebagai UMSU (University of Malaya Students’ Union) dan NUMS (National Union Malaysian Students’) diperingkat kebangsaan. Pada ketika ini, gerakan mahasiswa ini tidak lagi terbatas dalam memperjuangkan hak-hak dalam lingkungan kampus tetapi lebih dari itu. Mereka menjadi jurucakap rakyat jelata, bebas mengkritik tindakan sesebuah kerajaan sama ada dalam ataupun luar negara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan dan turut menjadi contoh perpaduan yang utuh bilamana tragedi 13 Mei berlaku.

Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi, selaku universiti yang tertua di negara ini, Universiti Malaya menjadi perintis kepada penubuhan dan kebangkitan gerakan-gerakan mahasiswa sehingga kini. Setelah Student Unity dilihat begitu kukuh untuk membawa suara mahasiswa seluruhnya, maka lahirlah ‘Student Power’ yang menjadi kuasa mahasiswa yang ampuh dalam memperjuangkan sesuatu agenda. Dengan kesedaran yang tinggi dalam kesatuan mereka membawa dan memperjuangkan idealisme dan kebajikan mahasiswa dan rakyat atas nama Student Power. Dalang disebalik tertubuhnya Student Power pada waktu itu adalah Khong Kim Hong (Presiden PMUM 68/69) dan Syeh Hamid Ali (Setiausaha Umum PMUM 68/69).

Beberapa tahun setelah itu, Student Power beransur hilang akibat daripada kekangan yang menimpa mahasiswa/i seluruh negara. Disepanjang tempoh ini, gerakan mahasiswa semakin layu dan lesu. Ia adalah zaman kegelapan dalam dunia gerakan mahasiswa diseluruh negara. Cuma pada tahun 1980-an, mahasiswa/i di Malaysia dikejutkan dengan kebangkitan mahasiswa/i Indonesia melawan regim Soeharto yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Hanya pada tahun 1996, mahasiswa/i Universiti Malaya yang sedar akan pentingnya kesatuan dalam memperjuangkan hak-hak mahasiswa yang telah lama diketepikan telah menghimpunkan kelompok-kelompok mahasiswa beridealisme di bawah nama ‘Gagasan Mahasiswa’. Gagasan Mahasiswa ini telah memegang tampuk kepimpinan di Universiti Malaya selama 8 tahun bermula dari 1996-2003. Banyak rekod cemerlang yang dicapai sepanjang kepimpinan mereka seperti pendaftaran subjek secara online, kemudahan pengangkutan awam kepada mahasiswa dan sebagainya.

Namun, pada tahun 2004 mereka memboikot pilihan raya kampus atas alasan adanya campur tangan dari pihak luar dan dikhuatiri berlaku ketirisan di dalam pilihan raya kampus yang bakal dijalankan. Walau bagaimanapun, pada tahun seterusnya mereka bangkit dengan harapan baharu mahasiswa atas nama Pro-Mahasiswa. Perjuangan mereka bertunjungkan kepada dua aspek penting iaitu kebajikan dan idealisme mahasiswa/i seluruh negara. Kini, Pro-Mahasiswa semakin diterima umum dan telah melebarkan pengaruhnya hampir ke seluruh kampus di negara ini. Selaku gerakan yang genuine mereka menggunakan slogan “Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa” dan mengambil semangat mahasiswa zaman 60-an dengan seruan Student Power!!!


Tambahan:


Apa itu Pro-Mahasiswa?

Pro-Mahasiswa bermaksud sebuah jaringan oleh kelompok yang membawa dan memperjuangkan suara mahasiswa yang genuine dan bebas. Suara mahasiswa yang tidak menyebelahi mana-mana pihak sama ada kerajaan, pembangkang atau pentadbiran universiti.

Siapa Pro-Mahasiswa?

Kelompok-kelompok anak muda progresif bergelar mahasiswa yang mempunyai kesedaran social dan politik yang tinggi serta mempunyai inisiatif dalam memperjuangkan idealisme dan kebajikan mahasiswa.


Rujukan

Facebook: Fahmi Reza,
Blogspot: Pro-Mahasiswa Universiti Malaya,
Sumber-sumber yang boleh dipercayai.

2 comments:

  1. Anonymous1:54 PM

    Mantap..

    ReplyDelete
  2. Anonymous10:48 AM

    Tq bang, skg adik da tau asal usul pro-m.

    ReplyDelete